suria

MAS Terbangkan Kesemua 3,200 Penumpang Terkandas

SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) telah menerbangkan lebih 3,200 penumpang yang terkandas melalui 12 penerbangan tambahan.

Penerbangan tambahan terakhir ke London berlepas pada jam 2.10 petang tadi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tengku Datuk Azmil Zahruddin berkata kesemua penerbangan tambahan itu berlepas dari Kuala Lumpur ke negara-negara Eropah untuk menghantar para penumpang yang terkandas, disebabkan awan abu gunung berapi, sejak pembukaan semula ruang udara Eropah Rabu lalu.

Sehingga ini, lebih 3,200 penumpang, yang kebanyakannya terkandas di Kuala Lumpur, telah dihantar pulang atau ke destinasi masing-masing seterusnya, menggunakan pesawat jet jumbonya, Boeing 747 dan Boeing 777.

"Daripada 12 penerbangan tambahan itu, empat berlepas ke London, empat ke Amsterdam, dua ke Paris, satu ke Frankfurt dan satu ke Rome. Penerbangan tambahan terakhir ke London berlepas pada jam 2.10 petang hari ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Tambahan kepada penerbangan tambahan itu, Tengku Azmil berkata MAS telah memulakan semula penerbangan biasa ke negara-negara Eropah sejak pembukaan semula ruang udara itu, yang sehingga ini berjumlah 31 penerbangan.

Katanya, kebanyakan penumpang yang terkandas itu telah dihantar ke destinasi masing-masing melalui 43 penerbangan itu tetapi keadaannya akan dinilai semula bagi melihat sama ada wujud keperluan mengadakan penerbangan tambahan yang lain.

Tengku Azmil berkata penerbangan berlepas para penumpang itu diatur mengikut siapa yang terbang paling awal di terbang ke destinasi masing-masing terlebih dahulu dan mengikut keperluan khas seperti perubatan, orang tua, mereka yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak seperti para pelajar yang akan menduduki peperiksaan, yang diatur oleh satu pasukan yang mengatur tempat duduk berkenaan.

Katanya syarikat penerbangan itu juga menyediakan tempat penginapan kepada para penumpang manakala makanan, menuman, selimut, bantal dan keperluan lain disediakan di lapangan terbang dan pejabat tiket.

Tengku Azmil berkata semasa penutupan ruang udara Eropah dari 15-20 April, MAS telah membatalkan 24 penerbangan keluar dari Kuala Lumpur yang memberi kesan kepada kira-kira 7,000 penumpang.

Secara keseluruhannya, 48 penerbangan MAS telah dibatalkan yang memberi kesan kepada 14,000 penumpang yang terbang ke Eropah dan destinasi lain di seluruh dunia.

Walau pun 68 juruterbang dan 264 kakitangan kabin telah dialihkan bagi bertugas di penerbangan tambahan itu, kebanyakan penerbangan pulang tiada penumpang, kerana penerbangan tambahan itu diadakan agar para penumpang dapat terbang ke destinasi masing-masing secepat yang mungkin.

Kerugian keseluruhan syarikat penerbangan itu masih belum dapat ditentukan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain