suria

Bekas Anggota Tentera Didakwa Tipu Lelaki RM54,750

BUTTERWORTH: Seorang bekas anggota tentera berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas lima pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan wang berjumlah RM54,750 pada 2005.

Ahmad Jamaluddin, 48, dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 21 Julai dan 16 September 2005 di Affin Bank Berhad cawangan Seberang Jaya di sini.

Ahmad didakwa menipu dan memperdaya Johari Omar untuk mempercayai bahawa wujud kerja-kerja pembekalan di 92 DKP Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.

Tindakan Ahmad itu mendorong Johari memberikan sejumlah wang yang dimasukkan dalam akaun Affin Bank milik tertuduh.

Ahmad didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan Ahmad diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pendakwa Raya Janariah Abdul Mutalib dan tertuduh diwakili peguam K. Saravanan Kumar. - BERNAMA

Artikel Lain