suria

Permohonan Semakan Bekas Isteri Roslin Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan bekas isteri Roslin Hashim, 34, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menolak bantahan awalnya untuk mengetepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan mereka sebanyak RM53,460.

Panel Rayuan yang terdiri daripada tiga hakim dan diketuai oleh Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili pemain badminton negara itu berkata, semakan Faizah Mohamad, 33, ditolak kerana tidak mematuhi prosedur antara lain dari segi dokumentasi dan afidavit.

"Mahkamah nasihatkan beliau failkan rayuan selepas kes induk didengar dan diputuskan sepenuhnya," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Sehubungan itu, Roslizam berkata, kes itu akan didengar pada 5 Mei ini.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menangguhkan kes tuntutan ganti rugi perkahwinan Roslin terhadap bekas isterinya itu kepada 5 Mei ini.

Penangguhan itu berikutan Faizah yang diwakili peguam syarie Mohamad Amir Nazli memfailkan semakan kehakiman mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak bantahan awalnya terhadap tuntutan ganti rugi perkahwinan oleh Roslin.

Prosiding penangguhan tersebut disebut dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Nurul Wazeera Ahmad Dahalan.

Pada 25 Januari lalu, Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Faizah dan menetapkan kes itu dibicarakanpada 23 dan 24 Mac ini yang dijalankan secara tertutup.

Roslin, 34, memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan terhadap Faizah pada 12 Ogos tahun lepas.

Mereka bernikah pada 31 Januari 2009 dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya secara talak bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal) pada 12 Mei tahun sama.

Roslin bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh 12 hari mereka bernikah.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Roslin yang diwakili peguam Roslizam Rahim, menuntut pembayaran balik kos pembelian cincin, belanja urusan merisik dan pertunangan serta kos perbelanjaan perkahwinan termasuk sewa khemah, video, kasut pengantin, sewa hotel dan lain-lain.

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain