suria

Model Ekonomi Baru Faktor Penarik Pengundi Kaum Cina Sokong Calon BN

TAWAU: Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan faktor penarik kepada pengundi masyarakat Cina untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah Datuk Liew Vui Keong berkata, masyarakat Cina menerima baik MEB kerana yakin dasar berkenaan boleh melonjakkan ekonomi negara dan pendapatan perkapita rakyat ke tahap tinggi.

"Saya yakin calon BN boleh menang di Hulu Selangor. Kita lihat Perdana Menteri telah mewujudkan beberapa dasar yang amat baik untuk semua lapisan rakyat. Kaum Cina terutamanya telah menyambut baik gagasan 1Malaysia ini.

"Bagi saya dengan momentum (gagasan 1Malaysia) yang berterusan ditambah dengan MEB yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib, ia telah disambut baik masyarakat Cina," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena permulaan sambutan ulang tahun LDP ke-21.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, dasar-dasar yang diperkenalkan pentadbiran Najib bukan sahaja mendapat sambutan baik daripada masyarakat Cina malah masyarakat Malaysia keseluruhannya kerana dasar berkenaan akan membawa negara ini ke arah kemajuan.

Mengenai calon BN di Hulu Selangor itu, Liew berkata, BN meletakkan P.Kamalanathan sebagai calonnya kerana mendengar permintaan pengundi Hulu Selangor yang mahukan calon baru di kawasan parlimen berkenaan.

Liew berkata, berdasarkan pengamatannya sendiri, calon BN berkenaan mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi Hulu Selangor kerana sikapnya yang peramah dan disenangi segenap lapisan masyarakat.

"Beliau adalah calon yang peramah, sentiasa melemparkan senyuman dan sebagai pegawai perhubungan awam berpengalaman, dia adalah calon yang menepati kehendak pengundi di Hulu Selangor.

Beliau juga mahu pengundi Hulu Selangor menolak calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim yang dianggapnya sebagai oportunis dan pernah ditolak pengundi Kelantan di Kota Bharu.

Liew juga berkata anggota LDP, sebagai salah satu komponen BN akan turun membantu kempen BN di Hulu Selangor dan pilihan raya kecil Sibu, Sarawak yang bakal diadakan. Mengenai pecapaian empat wakil rakyat parti itu dalam membela rakyat, Liew berkata beliau telah mendapat laporan berkaitan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka dan amat berpuas hati dengan laporan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain