suria

JAIS akan ambil tindakan

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan terhadap individu yang menggunakan masjid sebagai medan berpolitik.

Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, jabatan tersebut memandang serius tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan masjid sebagai platform untuk menyampaikan ceramah politik.

"JAIS memandang serius masalah ini. Kami sememangnya tegas dalam isu ini.

"Saya telah mengarahkan pegawai- pegawai dan nazir-nazir masjid memantau secara lebih serius bagi membanteras masalah ini di semua masjid dan surau di Selangor," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keyataan Pengarah Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang dilaporkan akan menulis surat kepada MAIS untuk meminta majlis itu menguatkuasakan titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid tidak digunakan untuk tujuan berpolitik.

Isnin lalu, Sultan Sharafuddin bertitah supaya ahli-ahli politik di negeri itu tidak menghabiskan masa yang banyak dengan berpolitik tanpa mengira tempat dan masa.

Baginda bertitah sebagai Ketua Negeri, baginda mahu melihat Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah kepada rakyat dengan cekap dan lancar.

Mengulas lanjut Khusrin berkata, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan menyampaikan ceramah di masjid atau surau tanpa tauliah boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya mahu ingatkan sesiapa yang ingin memberikan ceramah di Selangor mereka perlu dapatkan tauliah daripada JAIS," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai individu mahupun tokoh politik yang menggunakan masjid sebagai tempat untuk menyampaikan ceramah atau khutbah politik.

Artikel Lain