suria

Syarat Pajakan Tanah: Kelantan Sedia Runding

TANAH MERAH: Kerajaan Negeri Kelantan sedia berunding dengan mana-mana pihak termasuk koperasi berhubung kelonggaran syarat had pajakan pemilikan hartanah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Beliau berkata, dasar kerajaan negeri ialah memberi kemudahan sebaik mungkin kepada pihak yang ingin membuat pelaburan yang bukan sahaja akan membawa pembangunan kepada negeri tetapi juga rakyat.

"Jadi, kita tidak ada masalah untuk berunding dengan mana-mana pihak...jika syarat-syarat yang terkandung dalam Enakmen Kanun Tanah Negeri (KTN) menjadi penghalang," katanya kepada Bernama selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat, di sini, hari ini.

Abdul Fatah mengulas kenyataan Pengarah Pesuruhjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kelantan, Wan Mohamad Sabri Wan Harun, bahawa syarat-syarat ketat yang terkandung dalam KTN menjadi penghalang dan sekaligus membantutkan usaha menggalakkan koperasi menceburkan diri dalam bidang hartanah di Kelantan.

Perkara itu antara rumusan yang dicapai dalam Seminar Hartanah Koperasi Negeri Kelantan 2010 anjuran SKM pada Rabu lepas.

Mengikut peraturan dalam enakmen itu, Exco kerajaan negeri hanya boleh meluluskan pajakan pemilikan tanah untuk dimajukan sesuatu projek bagi tempoh 33 tahun sahaja berbanding kelulusan untuk permohonan individu sehingga 99 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain