suria

Perdana Menteri Tidak Boleh Ganggu Tugas Perisik - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau tidak dimaklumkan dengan sebarang maklumat mengenai kerja perisik di negara ini kerana menurutnya, Perdana Menteri sendiri tidak boleh menganggu tugas yang dijalankan oleh pihak itu.

Menurut Abdullah, tugas yang dijalankan adalah profesional dan tidak boleh diganggu demi memastikan keselamatan negara dalam keadaan stabil.

"Siapa mereka jumpa, dari mana mereka dapat maklumat saya sendiri tidak boleh ganggu kerana mereka tidak perlu laporkan kepada saya," katanya selepas pelancaran buku bergambar bertajuk Pak Lah oleh BERNAMA di Angkasapuri di sini hari ini.

Namun beliau mengakui hanya analisis dan perkara mutakhir yang berlaku tidak kira di dalam negara mahu pun diperingkat antarabangsa akan dilaporkan kepadanya tanpa mendedahkan dari mana atau dengan siapa mereka bekerja untuk mendapatkan maklumat.

"Perkara yang hanya boleh diberitahu akan diberitahu kepada saya, selainnya tidak diberitahu kepada saya," katanya.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat.

Dalam dakwaannya itu, Anwar memberitahu perkara berkenaan sebelum ini telah pun disahkan oleh cawangan khas Bukit Aman dan beliau turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.

Sementara itu, Abdullah yang lebih mesra dengan sapaan 'Pak Lah' gembira dan bersyukur dengan usaha Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam penerbitan buku bergambar mengenai dirinya yang bertajuk Pak Lah.

Buku yang mengabadikan lebih 400 keping gambarnya sepanjang bergiat dalam dunia politik turut dipilih khas oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim yang juga sahabat baiknya.

"Saya terharu dengna penerbitan buku bergambar ini dan saya menganggap buku ini istimewa kerana kesemua gambar di dalamnya dipilih sendiri oleh sahabat saya (Rais).

"Saya sendiri tidak mengetahui apakah gambar yang dimasukkan dalam buku tesebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Rais berharap buku tersebut dapat menjadi sebagai salah satu naskah berharga negara untuk dikenang oleh generasi akan datang mengenai Perdana Menteri kelima itu.

"Saya telah mengenali Pak Lah sejak 1973 lagi, dan saya sangat berbesar hati apabila dapat memilih semua gambar di dalam buku tersebut untuk diabadikan khas untuknya," katanya.

Katanya, setakat ini 2,000 naskah dicetak dan akan diedarkan kepada semua Perpustakaan Desa di negara ini buat bahan bacaan kepada masyarakat.

"Kita akan edarkan buku tersebut ke 1,899 buah Perpustakaan Desa buku tersebut dan akan memperbanyakkan cetakan pada masa akan datang," katanya.

Artikel Lain