suria

Remaja 13 Tahun Antara 41 Yang Ditahan Kerana Positif Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan 41 orang termasuk seorang remaja perempuan berumur 13 tahun dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan yang dikenalpasti membekalkan dadah kepada pengunjungnya di Batu 4 Jalan Ipoh di sini awal pagi tadi.

Pusat hiburan tiga tingkat yang memuatkan disko dan karaoke itu pernah diserbu beberapa kali oleh Polis Kuala Lumpur dan Daerah Sentul sebelum ini, namun ia didapati masih meneruskan kegiatannya sehingga kini.

Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata polis memeriksa kira-kira 100 orang dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi di pusat hiburan itu, dan 41 daripada mereka didapati positif dadah termasuk enam pekerja pusat berkenaan.

"Daripada 41 orang yang positif, 32 orang adalah lelaki manakala sembilan lagi perempuan termasuk seorang remaja berumur 13 tahun," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata semua yang ditahan berumur antara 13 dan 50 tahun, dan mereka didapati positif dadah jenis syabu, ketamin serta ecstasy.

Katanya mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman denda antara RM2,000 hingga RM5,000 dan penjara jika sabit kesalahan.

Menurutnya polis turut menemui beberapa pil yang dipercayai dadah bertaburan di atas lantai pusat hiburan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain