suria

Hentikan Spekulasi Mengenai Keputusan MCA - Yen Yen

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet ekoran keputusan pada pemilihan MCA semalam.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, beliau percaya perkara berkenaan dapat diselesaikan oleh presiden parti yang baru, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Saya fikir kita tak perlu buat sebarang spekulasi berhubung kedudukan Kabinet.

"Saya percaya presiden akan lakukan yang terbaik untuk parti," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pemilihan MCA semalam menyaksikan Dr Chua yang juga bekas timbalan presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan menewaskan penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan serta bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ia juga menyaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha tewas kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi jawatan Timbalan Presiden.

Kekalahan dua anggota Kabinet itu menimbulkan spekulasi kemungkinan berlaku rombakan Kabinet selepas krisis dalaman berpanjangan parti terbesar mewakili kaum Cina di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Ng berkata, tumpuan MCA kini ialah untuk menumpukan kepada usaha mengukuhkan parti serta bersiap-sedia menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"MCA akan menumpukan usaha penyatuan parti sebagai satu pasukan, saya percaya ia akan berlaku.

"Apa yang penting sekarang ialah untuk penyatuan dan bersiap-sedia menghadapi pilihan raya," katanya.

Artikel Lain