suria

Tengkorak Manusia Ditemui Di Kawasan Hutan Terpencil

IPOH: Tengkorak manusia bersama-sama lapan ketul serpihan tulang dalam keadaan berselerakan ditemui di hutan terpencil berhampiran rumah pangsa Panorama Lapangan Perdana di sini hari ini.

Jurucakap polis berkata, sepasukan polis bersama-sama Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun bergegas ke tempat kejadian selepas polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira 4.30 petang.

"Kita menemui serpihan tulang dan tengkorak itu dalam keadaan bersepah di sekitar hutan berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya, lokasi itu adalah antara kawasan yang dikenali sebagai 'kawasan panas' yang sering digunakan untuk membuang rangka motosikal curi yang telah dileraikan.

"Tempat ini agak terpencil dan kawasan kediaman hanya terletak dalam lingkungan dua kilometer dari sini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain