suria

Dua Sahabat Maut Akibat Dirempuh Kereta

KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta yang dipercayai dipandu laju di Jalan Damansara, Damansara Utama menuju ke Kepong pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, kereta jenis Peugeot yang dipandu oleh lelaki warga Iran yang dalam perjalanan menghala ke Lebuhraya Sprint menuju Kepong itu merempuh motosikal yang dinaiki Muhamad Saifullah Samsudin, 23, dan rakannya yang dikenali sebagai Khairul, 19.

Ketua Trafik Selangor Superintenden Che Hussin Omar berkata akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa tercampak kira-kira 20 meter menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah di beberapa bahagian badan.

"Motosikal mangsa diseret oleh kereta yang turut dinaiki dua lelaki warga Iran dan seorang lelaki warga Rusia. Pemandunya seorang pelajar kolej swasta dipercayai memandu laju menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata penumpang kereta warga Rusia yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala pemandu kereta tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Artikel Lain