suria

Layanan Sama Untuk Semua Sekolah

PUTRAJAYA: Prestasi sekolah yang memperoleh pencapaian rendah tidak akan dipinggirkan, tegas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran dan agensi berkaitan akan memastikan semua sekolah di negara ini akan mendapat layanan yang sama dalam memastikan semua pelajar dapat meningkatkan prestasi pelajaran.

"Kementerian tidak akan meminggirkan sekolah yang pencapaiannya rendah, kita akan bantu.

"Pihak kementerian akan berusaha dalam memastikan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan bandar dapat dirapatkan," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia akan berbincang bagi menyediakan kaedah terbaik untuk membantu pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan gagal pada SPM lalu.

"Kita akan cuba dapatkan inisiatif bagi membantu pelajar terbabit menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya mereka," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 pelajar cemerlang, empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan bagi pencapaian cemerlang SPM 2009.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 buah sekolah yang cemerlang dalam peperiksaan itu.

Berbeza pada tahun sebelumnya, beliau keputusan 10 sekolah terbaik itu dibuat berdasarkan kepada gred purata mata pelajaran yang diambil.

"Mulai tahun ini, pencapaian sesebuah sekolah akan dikategorikan kepada cemerlang, baik, memuaskan dan berpotensi berdasarkan kepada gred purata sekolah masing-masing.

"Tujuannya supaya pengetua dapat mengetahui kedudukan sekolah dan sentiasa berusaha meningkatkan gred purata sekolah masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, Razmi Abdul Razak ketika ditemui berkata, kejayaan sekolahnya tersenarai 10 terbaik sejak tahun 2006 adalah kerana kerjasama antara semua pihak disekolah.

"Mana mungkin pelajar yang bijak tetapi guru tidak berdedikasi dalam mendidik mereka dapat mengecapi kejayaan," katanya.

Menurutnya beliau sistem tutor-tutee yang diamalkan di sekolahnya turut membantu dalam kejayaan sekolah itu.

"Saya rasa bertuah kerana semua pelajar tidak lokek ilmu dalam membantu pelajar lain yang lemah.

"Kerjasama dan semangat kekitaan yang kuat menjadi satu resepi kepada kejayaan mereka," katanya.

Pada majlis yang sama, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan modal khas sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk di Rawang, Selangor yang terbakar selepas diceroboh enam penjenayah, bulan lepas.

Beliau memberi jaminan akan menyalurkan peruntukan tersebut kepada sekolah itu secepat mungkin.

Dalam kejadian itu, SJKC San Yuk diceroboh sekumpulan penjenayah yang bertindak mencederakan dua pengawal keselamatan sekolah dan membakar bilik guru serta kabin mencetak kertas soalan peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri turut memuji pelajar cemerlang istimewa kerana kegigihan mereka mencapai keputusan yang baik walaupun kekurangan daripada segi fizikal.

"Saya turut memuji pelajar sekolah sukan, walaupun banyak menghabiskan masa dengan aktiviti luar, namun mereka tetap berjaya dalam bidang akademik.

"Mereka telah membuktikan kepada kita bahawa sukan dan pelajaran boleh berjalan seiring dalam mencapai keputusan cemerlang," katanya.

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain