suria

FOMCA Saran Kerajaan Kaji Penggunaan 'Tayar Celup'

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa pihak berkuasa mengkaji penggunaan 'tayar celup' khususnya pada kenderaan perdagangan kerana kepingan tayar itu yang sering kali 'tertinggal' di atas jalan boleh membahayakan pengguna lain.

Penasihat persatuan Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata 'kepingan' tayar itu juga boleh menyebabkan kemalangan apabila dilanggar oleh kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal.

"Dapat dilihat sendiri di atas jalan raya yang mana banyak tayar 'menggelupas' dan berselerak dan ianya disebabkan kerana syarikat ingin mengaut keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan," katanya.

Katanya beliau sendiri pernah menyaksikan sebuah bas membahayakan penumpang apabila pemandunya tidak memberhentikan kenderaan itu dan menukar tayar yang lapisannya 'menggelupas'.

Mohd Hamdan berkata berdasarkan pemerhatiannya keadaan itu berpunca daripada 'tayar celup' tidak bermutu yang banyak digunakan oleh syarikat berkenaan.

Justeru sudah tiba masanya pihak berkuasa meneliti semula perkara ini dan mungkin menimbang untuk mengharamkan penggunaannya, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain