suria

Kanak-Kanak Perempuan Tiga Tahun Maut Dalam Kebakaran

KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan, Nor Shaharmimi Shahril, meninggal dunia apabila api menyambar bilik tidurnya di Kampung Bukit Keteri dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada 11.15 malam itu, kanak-kanak berusia tiga tahun itu sedang tidur seorang diri dalam bilik tidur itu manakala ibu bapanya berada di dapur.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Che Man Md Dros berkata, semasa kejadian disedari ibu bapa mangsa, api telah marak di dalam bilik tidur itu.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah bapa kanak-kanak itu, Shahril Hamid, 30, ibunya Suzana Ghazali, 27, dan datuknya, Ghazali Ismail, 49.

"Mereka melecur pada anggota badan ketika cuba menyelamatkan Nor Shaharmimi," kata Che Man.

Katanya punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain