suria

Permohonan Anugerah Akademik Negara 2009 Dibuka

PUTRAJAYA: Permohonan untuk dicalonkan bagi Anugerah Akademik Negara (AAN) 2009, iaitu anugerah tahunan yang memberi pengiktirafan kepada ahli akademik yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang masing-masing, dibuka mulai hari ini sehingga jam 5 petang 17 Mei.

Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Dr Rujhan Mustafa berkata, enam kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti dan Anugerah Bidang Pengajaran.

"Penyertaan bagi kesemua anugerah tersebut berdasarkan kepada permohonan daripada calon itu sendiri, kecuali bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara yang berdasarkan pencalonan institusi pengajian tinggi atau pihak-pihak tertentu berdasarkan kepada pencapaian dan sumbangan kumulatif calon sepanjang hidup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Rujhan berkata, penilaian bagi setiap kategori akan dilakukan oleh jawatankuasa pemilih yang dianggotai oleh pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi, tokoh-tokoh dari sektor swasta dan individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata, hasil penilaian jawatankuasa itu, calon-calon yang layak akan dikemukakan kepada jawatankuasa induk AAN 2009 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk diteliti dan seterusnya diperakukan kepada Menteri Pengajian Tinggi.

"Kami menjangkakan akan menerima penyertaan yang lebih banyak pada tahun ini memandangkan ia kali keempat diadakan dan ramai ahli akademik kini sedar mengenai nilai pengiktirafan yang diperoleh daripada AAN ini," katanya.

Dr Rujhan berkata, pemenang bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara bakal menerima hadiah berupa wang tunai RM80,000 beserta trofi dan sijil manakala pemenang-pemenang bagi kategori lain menerima wang tunai RM20,000 dalam majlis yang akan diadakan sekitar Julai.

Maklumat dan borang permohonan AAN 2009 telah pun dipaparkan dalam laman web Kementerian Pengajian Tinggi dan boleh diakses melalui http://www.mohe.gov.my/aan2009. - BERNAMA

Artikel Lain