suria

Pembantu Kesihatan Awam Didakwa Rasuah

SHAH ALAM: Seorang pembantu kesihatan awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah membabitkan RM1,100 sebagai dorongan untuk tidak menyaman sebuah bengkel kereta yang dikatakan bersalah kerana mempunyai takungan air yang mengandungi jentik-jentik, dua tahun lepas.

Salmizal Salleh, 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Tertuduh yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Petaling didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan wang tunai RM600 daripada pemilik syarikat Sonoflex Sdn Bhd, A.Sinnappan.

Ia sebagai dorongan kononnya untuk tidak mengambil tindakan saman ke atas premis beliau yang dikatakan bersalah kerana mempunyai enam takungan air yang mengandungi jentik-jentik.

Salmizal didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 21, Jalan Tandang, Seksyen 51, Petaling Jaya, kira-kira pukul 3 petang pada 20 Mac 2008.

Dia juga didakwa memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada Sinnappan sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama, kira-kira pukul 6.25 petang, di tempat dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang ditangkap sehari selepas kejadian, boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim Mat Ghani membenarkan Salmizal diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 April depan untuk sebutan melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ng Siew Wee. - BERNAMA

Artikel Lain