suria

Polis Tumpaskan 'Geng Botak' Pecah Rumah

KUALA LUMPUR: Tiga anggota "Geng Botak" yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Ampang Jaya, Cheras dan Kajang ditahan di sebuah apartmen di Jalan Pasar Baru, Pudu, yang dipercayai menjadi markas kumpulan itu, dua hari lepas.

Ketika ditahan sepasukan polis dalam serbuan kira-kira 6.15 petang itu, tiga suspek dalam lingkungan 38 hingga 55 tahun termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai "Botak" itu sedang menyusun barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan hari ini berkata kumpulan itu bergiat aktif menjalankan kegiatan jenayah mereka pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat antara pukul pukul 12 tengah hari hingga 4 petang dengan mensasarkan rumah yang tidak berpenghuni.

Siasatan juga mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan itu ialah dengan menaiki dua buah kenderaan pada satu-satu masa ketika menjalankan kegiatan memecah sesebuah rumah.

"Suspek akan berkomunikasi antara satu sama lain dengan satu kumpulan akan masuk ke dalam rumah manakala satu lagi kumpulan akan menjadi pemerhati di luar," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Jalil berkata siasatan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan dikategorikan sebagai penjenayah tegar, dengan dua daripada mereka juga berada dalam senarai individu yang dikehendaki atas kesalahan memiliki senjata api.

Beliau berkata semasa ditangkap, geng itu dipercayai baru selesai memecah masuk tiga buah rumah termasuk sebuah di Ampang. Kebiasaannya geng itu akan memecah masuk sebanyak empat buah rumah dalam sehari, katanya.

Beliau berkata siasatan ke atas apartmen itu mendapati ia menjadi tempat persinggahan dan pertemuan geng terbabit selain dijadikan markas menyimpan barangan hasil pecah rumah itu.

Ketika serbuan, polis menemui sejumlah besar barangan dan dokumen berharga bernilai hampir RM200,000 seperti telefon bimbit, kamera, jam tangan, pemain DVD, alat permainan elektronik, hamper, pasport antarabangsa, buku bank, kad kredit, kad ATM dan kad Touch N Go, katanya.

Turut dirampas ialah pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti spanar mati, playar, pahat, besi pembuka tayar, gergaji besi dan pengikir besi, katanya.

Selain itu, pelbagai jenis kunci motosikal dan rumah serta dua buah kenderaan membabitkan Toyota Vios dan Waja, yang dilaporkan dicuri masing-masing di Pandan Indah dan Kajang, tiga keping plat nombor pendaftaran kenderaan palsu dan dua set walkie-talkie di dalam kenderaan terbabit, turut dirampas.

Abdul Jalil berkata rumah terbabit disewa oleh sepasang suami isteri berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun yang juga dipercayai anggota geng terbabit dan polis kini telah melancarkan gerakan bagi memburu dua lagi suspek itu.

Beliau berkata tiga suspek itu ditahan reman tiga hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain