Lima Juta Warga Malaysia Aktif Dalam Facebook - Najib - Semasa | mStar

Lima Juta Warga Malaysia Aktif Dalam Facebook - Najib

PUTRAJAYA: Kira-kira lima juta warga Malaysia sangat aktif dalam laman web sosial, Facebook, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini satu petanda yang baik bahawa masyarakat kini memanfaatkan penggunaan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dan kerajaan akan melaksanakan inisiatif jalur lebar seberapa luas yang boleh.

"Dengan itu, kita dapat menghubungkan semakin ramai warga Malaysia. Dengan itu, kita dapat menggunakan internet untuk meningkatkan kesinambungan sosial kita.

"Keindahan internet ialah ia meruntuhkan benteng antara kita. Ia meruntuhkan benteng (perbezaan) bangsa, agama dan usia. Kita berada di sini kerana kita dihubungkan di internet," kata beliau dalam majlis jamuan teh Perdana Menteri bersama rakan internet 1Malaysia di kediaman rasmi beliau, Seri Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anak mereka, Nooryana Najwa serta Nor Ashman Razak.

Kira-kira 300 rakan internet beliau dari seluruh negara dan daripada pelbagai kaum serta peringkat umur menghadiri majlis itu.

Najib berkata kerajaan menggunakan teknologi terkini, iaitu internet, sebagai salah satu cara untuk berkomunikasi dengan masyarakat, contohnya, selepas beliau membentangkan Bajet 2010, beliau menerima beratus-ratus cadangan yang berguna daripada rakyat.

"Saya mahu anda semua merasakan bahawa anda mempunyai kerajaan yang sangat responsif kepada keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia.

"... dan kami akan menggunakan teknologi terkini untuk berhubung dan berkomunikasi dengan rakyat Malaysia. Melalui cara ini, kita akan memperoleh komunikasi dua hala dan kesinambungan antara rakyat dan kerajaan.

"Memanglah orang akan mengutus surat, orang menulis dakwaan dan sebagainya, tetapi tiada yang serupa dengan penggunaan internet kerana ia semestinyalah kaedah yang paling berkesan untuk berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.

Mengenai majlis hari ini, Najib berkata pertemuan yang julung kali diadakan itu sebagai kaedah untuk mengenali secara bersemuka dengan rakan internet yang telah mengambil inisiatif untuk mendaftar sebagai rakan Facebook beliau.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat menjemput kesemua rakan internet beliau yang kini berjumlah kira-kira 120,000 orang dan jumlah itu meningkat setiap hari ini.

Beliau berkata kumpulan pertama seramai 300 orang dipilih memandangkan ia jumlah maksimum yang dapat memenuhi saiz dewan bankuet di Seri Perdana dan lebih ramai lagi akan dijemput pada majlis seumpama itu pada masa akan datang.

Daripada jumlah yang hadir, seramai 45 peratus daripada kalangan umur 15-29 tahun, antara 30-39 tahun (35 peratus) dan lebih 40 tahun (20 peratus), katanya.

Sambil melahirkan penghargaan kepada rakan internetnya kerana sangat responsif dan turut meminta maaf kerana adakalanya tidak dapat membalas komen-komen yang diberikan, beliau menyifatkan majlis itu sangat berjaya.

"Ini kali pertama kita berjumpa namun saya dapat merasakan hubungannya. Saya mendoakan kejayaan anda semua dan komited kepada semangat 1Malaysia... anda semua penggerak yang penting bagi membangunkan negara bersama-sama dengan kerajaan.

"Ayuh kita bekerjasama dan menjadikan Malaysia negara yang utuh, bersatu padu dan makmur. Sila teruskan berhubung menerusi internet," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain