suria

Bertanding Jawatan Apa: CSL Masih Belum Putuskan...

KUALA LUMPUR: Bekas orang nombor dua MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih belum membuat keputusan jawatan apa yang akan ditandinginya pada pemilihan parti itu 28 Mac ini.

Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Dr Chua menegaskan beliau masih dalam proses mendapatkan maklum balas daripada akar umbi dan juga perwakilan tentang perkara itu.

"Saya akan umum hanya apabila tiba masanya untuk berbuat demikian," katanya selepas sesi pertama konvokesyen ke-10 UTAR di sini.

Dr Chua juga berkata, beliau tidak mengalakkan bahagian-bahagian mengumumkan calon pilihan mereka walaupun itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian.

Ini kerana, pengumuman secara terbuka sokongan ke atas mana-mana calon hanya akan memecah belahkan lagi parti.

Oleh itu, katanya, jika boleh elak, lebih baik dielakkan sahaja.

Pada majlis yang sama, Dr Chua menyeru agar Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) supaya mengalih fokus mereka daripada melahirkan lebih ramai doktor kepada melahirkan doktor yang lebih berkualiti.

“Ya benar negara kita kekurangan doktor tetapi pada masa yang sama adalah perlu untuk berhati-hati agar kita tidak melahirkan terlebih banyak doktor kerana kita khuatir mereka tidak mempunyai kualiti," kata bekas menteri kesihatan itu.

Beliau bimbang pada kadar sekarang, Malaysia akan terlebih melahirkan doktor dalam tempoh lima ke lapan tahun lagi.

Menurut beliau, terdapat lebih kurang 2,000 tempat untuk latihan amali (housemanship) di seluruh negara sekarang.

“Jika kita lahirkan 4,000 doktor sekalipun tempat hanya ada 2,000 sahaja dan ini akan mendorong kepada perkongsian pesakit dan ia bukanlah satu pendedahan yang berguna kepada doktor-doktor pelatih ini,” ujarnya lagi. Konvokesyen UTAR yang ke-10 ini dijadualkan berlangsung selama dua hari. Tahun ini bakal menyaksikan 2,014 graduan dari 35 disiplin akan menerima skrol ijazah masing-masing.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain