suria

Satu Mati, Tiga Cedera Parah Ditembak Di Restoran

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati manakala tiga rakannya cedera parah selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah restoran di Jalan Ipoh dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan dendam, dan suspek mungkin seorang pembunuh upahan.

Katanya kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.40 pagi semasa keempat-empat sahabat dalam lingkungan umur 30an itu sedang menikmati makanan apabila tiba-tiba seorang lelaki muncul lalu melepaskan beberapa das tembakan.

Beliau berkata semua yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, dan salah seorang daripada mereka kemudiannya disahkan meninggal dunia.

"Tiga lagi rakannya cedera di bahu, lengan dan kaki. Dua daripada mereka kritikal manakala seorang lagi cedera parah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zakaria berkata polis menemui lebih daripada enam kelongsong peluru di tempat kejadian namun pistol yang digunakan tidak ditemui, dan menurutnya polis sedang mencari saksi serta meneliti rakaman kamera litar tertutup berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain