suria

Penempatan Wajib Di Luar Bandar Bagi Guru Bukan Bermasalah

KUALA LUMPUR: Berkhidmat antara tiga hingga lima tahun di kawasan luar bandar bukanlah satu masalah bagi 160,000 guru yang merupakan anggota Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

"Anggota kami bersedia untuk berkhidmat di mana-mana saja pada bila-bila masa," kata Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng kepada Bernama.

Katanya pendirian NUTP adalah guru-guru sepatutnya memberikan tumpuan kepada pelajar dan bersedia untuk mengorbankan kepentingan peribadi demi menjayakan matlamat itu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, bahawa kerajaan merancang untuk mewajibkan guru-guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun dalam kerjaya perguruan mereka selama 30 tahun.

Lok berkata kerajaan sudahpun menyediakan elaun kesukaran antara RM500 hingga RM1,500 untuk guru-guru di kawasan pedalaman.

Beliau berharap lebih banyak insentif akan disediakan untuk menjadikannya menarik supaya guru-guru memilik ditempatkan di luar bandar.

Satu perkara yang memerlukan perhatian segera adalah untuk menyediakan kuarters yang lebih selamat bagi guru-guru terutama wanita bujang.

Lok berkata kesatuan itu telah menerima beberapa aduan bahawa ada kuarters guru tidak berpagar dan masalah lampu, yang boleh mengancam keselamatam mereka.

Beliau berkata ketika ini, guru pelatih dimestikan menandatangani perjanjian bersetuju untuk dipindahkan ke kawasan luar bandar ketika diperlukan.

Bagaimanapun, ini sukar dikuatkuasakan kerana banyak rayuan oleh guru-guru.

Lok menasihatkan mereka yang mahu menyertai kerjaya perguruan untuk berfikir dua kali sebelum memohon jawatan itu jika mereka merasakan tidak dapat berkhidmat di kawasan luar bandar.

"Kami mengharapkan semua guru bersedia untuk berkhidmat di luar bandar bertepatan dengan polisi antarabangsa bagi menyediakan pendidikan untuk semua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain