suria

Pemandu, Kelindan Baiki Lori Tepi Jalan Maut Dirempuh Lori Lain

KUANTAN: Seorang pemandu lori dan kelindannya yang sedang membaiki lori mereka yang rosak di tepi Jalan Gebeng-Gambang, berhadapan Kolej Shahputra, di sini maut selepas lori tersebut dirempuh sebuah lori muatan paip plastik, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian kira-kira 3.55 petang itu, Akhsan Samigin, 58, dan rakannya Azizan Tahrin, 45, berada di bawah lori tanpa muatan berkenaan bagi membaiki kerosakan.

"Sebuah lori dengan muatan paip plastik yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba merempuh belakang lori mangsa menyebabkan mereka terseret dan berganjak ke hadapan sejauh beberapa meter," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan maut di tempat kejadian. Pemandu lori muatan paip plastik berusia 62 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan atau menghubungi talian 09-5132222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain