suria

Lima Rakyat Malaysia Diberkas Tipu Wanita Taiwan RM1.2 Juta

KUALA LUMPUR: Polis Persekutuan memberkas lima lelaki tempatan kerana dikatakan menipu seorang wanita Taiwan supaya membayar sejumlah hampir RM1.2 juta kepada mereka sebagai 'yuran proses', bagi membolehkan beliau mengambil hadiah loteri US$5 juta.

Sebenarnya, hadiah itu langsung tidak wujud.

Suspek, termasuk pengurup wang, ditahan oleh pasukan dari Jabatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman malam tadi.

Mereka direman empat hari mulai hari ini. Penangkapan mereka berikutan aduan polis yang dibuat oleh arkitek dalam usia 30an itu yang berpejabat di Canada.

Dua hari sebelum itu, wanita itu telah mendapatkan bantuan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di sini.

Menurut sumber polis, suspek mungkin telah berpakat dengan sindiket di Macau yang memperdaya wanita itu hingga mempercayai yang ia telah memenangi hadiah loteri. Wanita itu menerima e-mel menyatakan beliau telah memenangi hadiah itu.

Beliau diarah memasukkan sejumlah wang sebagai yuran proses dan belanja lain berkaitan.

Sumber itu berkata beliau memasukkan hampir RM1.2 juta ke dalam dua akaun bank di Malaysia.

Sebaik saja wang dimasukkan, orang suruh tempatan mengambil wang bahagian mereka, sementara bakinya disalurkan kepada pengurup wang untuk dipindahkan ke Macau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain