suria

Polis Percaya Lebih Daripada Seorang Terlibat Dalam Kematian Syafia

KUALA LUMPUR: Polis percaya terdapat lebih daripada seorang individu yang terlibat dalam kes penderaan hingga mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Syafia Humairah Sahari, 3, dalam kejadian di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Bakhtiar Rashid berkata siasatan awal mendapati suspek utama, yang kini ditahan reman tujuh hari, tidak melakukan pembunuhan berseorangan tetapi kemungkinan melibatkan sekurang-kurangnya lima individu lain.

"Siasatan awal mendapati terdapat dua kemungkinan iaitu individu-individu itu turut terlibat mendera Syafia atau mereka tidak melakukannya tetapi mengetahui kanak-kanak terbabit telah didera.

"Bagaimanapun polis sedang mengesan kesemua mereka yang disyaki terlibat termasuk bapa suspek untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga akan memanggil ibu kanak-kanak itu, Nurhanim Aziz, dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangannya.

Diminta mengulas kebarangkalian mangsa adalah anak kepada suspek, Bakhtiar enggan mengulas lanjut dan berkata tiada sebarang ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan bagi mengesahkan perkara itu.

"Saya tidak boleh kata ya atau tidak kerana belum ada pihak yang meminta ujian DNA dilakukan bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu. Namun, hal ini akan dipertimbangkan selepas polis merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai laporan yang mendakwa ibu mangsa bersekedudukan dengan teman lelakinya (suspek)," katanya.

Bakhtiar turut kecewa apabila tiada saksi tampil memberikan maklumat sejurus selepas kejadian itu berlaku dan beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya berbuat demikian.

Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Baharu setelah mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh, petang semalam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain