suria

Lelaki Cuba Serang Polis Cedera Ditembak

IPOH: Seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang cedera ditembak semasa dia cuba menyerang seorang anggota polis di Taman Jati di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.45 malam semasa anggota polis berkenaan menahan sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki berumur lingkungan 20-an, yang dipercayai baru merompak sebuah kedai runcit di taman perumahan berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis yang sedang meronda kawasan itu pada mulanya terserempak dengan dua lelaki berkenaan yang dilihat menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota polis itu mengarahkan mereka berhenti, namun tiba-tiba pembonceng motosikal itu mengeluarkan parang lalu cuba menyerang dan anggota polis berkenaan terus melepaskan satu das tembakan yang mengenai lutut lelaki tersebut.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata, lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian lutut itu kemudiannya diberkas manakala rakan lelaki itu terus memecut melarikan diri.

Azisman berkata, pemilik kedai runcit itu dalam aduannya mendakwa mengalami kerugian wang tunai, barang kemas dan rokok bernilai kira-kira RM7,000 selepas dirompak dua lelaki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain