suria

Polis Tahan 13 Penagih Dadah Dalam Ops Tapis

SEREMBAN: Polis menahan 13 orang termasuk seorang pelajar Tingkatan Lima dalam Ops Tapis di sekitar Kampung Datuk Mansor dan Kampung Pasir di Rasah di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt R. Ravichandran berkata kesemua mereka yang berumur antara 17 dan 54 tahun didapati menagih dadah jenis heroin dan ujian air kencing mereka positif dadah.

"Majoriti mereka adalah penagih berulang manakala seorang daripada mereka baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Menerusi operasi ini kami turut mengesan kegiatan pengedar dadah menggunakan kaedah 'mobile port' iaitu pengedar dadah bergerak dari satu tempat ke satu tempat menggunakan kenderaan untuk mengedar dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Operasi lapan jam bermula pukul 11 pagi itu melibatkan seorang pegawai dan lapan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain