suria

Malaysia Sekali Lagi Diberi Mandat Ketuai Pasukan Pemantau Di Mindanao

BAGAN DATOH: Malaysia sekali lagi diberi mandat untuk mengetuai pasukan pemantau di Mindanao, Filipina, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan International Monitoring Team (IMT) itu akan turut dianggotai Jepun, Qatar, Brunei, Indonesia dan negara Kesatuan Eropah.

Pasukan itu akan diketuai oleh pegawai tentera berpangkat mejar jeneral dan brigadier jeneral dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Rakyat Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan IMT dijadual memulakan operasi pemantauan pada 28 Feb ini.

Anggota ATM telah berada di Mindanao sejak 2004 sebagai sebahagian daripada IMT yang terdiri daripada 41 pegawai ATM, Polis Diraja Malaysia dan disokong oleh 10 pegawai tentera dari Brunei Darussalam dan lima dari Libya serta anggota dari Kanada dan Jepun.

IMT yang ditugaskan bagi menyelia keberkesanan persetujuan gencatan senjata di Mindanao telah memainkan peranan kritikal bagi menyokong rundingan damai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan meneruskan momentum bagi resolusi penyelesaian konlfik di Mindanao.

Misi yang sebelum ini turut diketuai Malaysia ditamatkan pada September 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain