suria

Keluarga Bayi Alami Masalah Kepala Besar Mohon Bantuan

PEKAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib adik Muhammad Sharul Haikal Kasim, 9 bulan, yang mengalami masalah kepala besar, berat badan menyusut selain masalah penglihatan.

Lebih memeritkan lagi bayi itu perlu menjalani pemeriksaan di hospital sekali sebulan yang amat membebankan bagi bapa bayi itu yang hanya bekerja di kilang papan dengan pendapatan kira-kira RM60 seminggu.

Kasim Mat, 55, berkata keadaan itu menyukarkannya kerana isterinya tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga bayi malang itu dan dua lagi anaknya dan memohon simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Usaha untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dibuat namun sehingga kini masih belum menerima apa-apa keputusan, katanya ketika ditemui di rumahnya di kongsi kilang papan itu di Km12 Lebuhraya Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Roslaila Abdul Rahman, 26, pula berkata anaknya sering menangis pada waktu malam dan doktor pernah mencadangkan supaya anaknya itu menjalani pembedahan namun dia tidak berani mengambil risiko.

Anaknya itu terpaksa dibawa ke hospital setiap bulan untuk membuat pemeriksaan namun kesusahan hidupnya menyukarkan dia membawa anaknya itu berulang ke hospital selain terpaksa menjaga dua lagi anak iaitu Muhammad Shahrulnizam, 8, dan Nur Intan Sharafifi Elyana, 5.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan keluarga itu boleh menghubungi Kasim di talian 019-9458357. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain