suria

Teoh Mati Akibat Jatuh Dari Tempat Tinggi, Kata Patologi

SHAH ALAM: Kematian Teoh Beng Hock disebabkan pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat yang tinggi dan bukannya kerana dicekik atau ditembus, kata ahli patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor.

Katanya, kesan pada leher Teoh menunjukkan beliau mengalami pendarahan yang lebih hebat (teruk) dan terdapat tulang leher yang patah, kata Dr Shahidan.

Keterangannya itu menyangkal pendapat ahli patologi Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand yang mengaitkan kesan lebam dan kecederaan pada dubur Teoh akibat dicekik dan ditembus.

Dr Shahidan, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas Teoh, memberitahu inkues kematian pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor itu bahawa sekiranya dicekik, kesan lebamnya akan ketara secara tidak sama rata.

Mengenai kesan seolah-olah tembusan pada dubur Teoh, Dr Shahidan, saksi ke-31 inkues berhubung kematian Teoh ini berkata, ia tidak menunjukkan terkena pukulan tetapi ia hanya boleh disebabkan kecederaan seperti jatuh yang amat kuat.

Bedah siasat itu dijalankan pada 22 Nov lalu oleh Shahidan dengan pemerhatian oleh Dr Pornthip, yang dilantik oleh kerajaan Selangor manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. Beliau pada inkues sebelum ini berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.

Venezis pula adalah ahli patologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua ahli patologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka selepas Dr Shahidan.

Koroner Azmil Muntapha Abas telah mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM Selangor di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.

Menjelaskan lagi pendapatnya mengenai kecederaan pada dubur Teoh, Dr Shahidan berkata: "Kecederaan pada bahagian tersebut adalah sebahagian daripada peristiwa jatuh, sebab patah dan corak-corak (kecederaan) mencadangkan ia begitu.

"Sebab, kalau kecederaan di bahagian belakang telah berlaku lebih awal, pada pendapat saya jenis kecederaan yang akan dialami Teoh mungkin akan berlainan.

"Saya merujuk kesan kecederaan yang lain juga adalah sama dan berlaku pada masa yang sama.

"Pada pendapat saya jika Teoh telah diperlakukan (ditembus) demikian peristiwa jatuh tersebut mungkin tidak boleh digambarkan kerana kecederaan di bahagian dubur itu agak hebat," katanya.

Selain itu, Dr Shahidan yang ditanya oleh peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Chuan mengenai pendapatnya berhubung laporan bedah siasat pertama yang dilakukan oleh dua pakar forensik Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, berkata beliau bersetuju dengan laporan mereka.

"Mereka berdua telah menjalankan kerja dengan baik dan jika diberi kepada saya sukar untuk saya memberi laporan sebaik itu. Saya bersetuju dengan bedah sisat mereka," katanya.

Terdahulu, merujuk pada laporan, Dr Shahidan berkata pemeriksaan kedua menunjukkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan konsisten akibat jatuh dari ketinggian tertentu.

"Ia juga menunjukkan bahawa simati mendarat di kakinya mengakibatkan hentakan kuat pada tulang pelvis dan spina menyebabkan mangsa mengalami patah tulang dan kecederaan pada otot sekitarnya.

"Ada juga kecederaan pada leher yang mungkin disebabkan oleh kesan jatuh. Kecederaan yang dialami adalah sesuai dengan insiden atau kejadian itu," katanya.

Sementara itu diawal prosiding Dr Shahidan memberitahu bahawa penglibatannya di dalam bedah siasat kedua itu dibuat setelah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas pada 9 Nov tahun lalu.

Beliau pada awalnya enggan berbuat demikian walaupun telah dihubungi oleh Tricia Yeoh dari pejabat Menteri Besar Selangor dan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Bedah siasat pada 22 Nov tahun lepas itu bermula jam 12.45 pagi dan selesai dua jam kemudiannya.

Katanya, mayat Teoh masih berkeadaan baik ketika itu ekoran pengawetan yang telah dibuat namun terdapat beberapa kesan kulat pada bahagian dahi serta darah beku kekal di belakang lidah dekat dengan leher, serta pendarahan di sebelah tepi kanan otak dan di sebelah tepi kanan belakang otak.

Terdapat juga kesan calar pada bahagian belakang pinggang kanan dan kiri dengan kesan lebam serta pendarahan dalam otot.

Sebelum pembedahan dibuat, Dr Shahidan berkata beliau turut dibekalkan laporan bedah siasat yang pertama, laporan keterangan Dr Pornthip di mahkamah sebelum ini serta gambar-gambar di tempat kejadian.

Koroner Azmil menetapkan 1 Mac untuk menyambung prosiding. - BERNAMA

Artikel Lain