suria

Pusat Hiburan Baru Beroperasi Diserbu Kerana Jalankan Operasi Mesin Judi Haram

KAMPAR: Sebuah pusat hiburan yang baru 18 hari mendapat lesen diserbu sepasukan polis di sini semalam kerana menjalankan kegiatan mesin judi haram.

Dalam serbuan pukul 3 petang itu, 39 lelaki termasuk pengusaha pusat hiburan yang terletak di Mambang Di Awan dekat sini turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata pusat hiburan itu baru mendapat lesen pada 1 Februari lepas tetapi polis menerima maklumat ia menjalankan kegiatan judi haram sejak Ahad lepas iaitu pada hari cuti Tahun Baru Cina.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, beliau berkata sebanyak 65 mesin judi pelbagai jenis, 4,821 keping token dan wang tunai sebanyak RM2,858 dirampas dalam serbuan itu.

Beliau berkata 36 lelaki berumur dalam lingkungan 20-an yang merupakan pelanggan di premis itu telah dibebaskan selepas diambil keterangan, manakala tiga lelaki lagi, dua daripadanya berusia 19 dan 22 tahun dan pemilik premis berusia 74 tahun ditahan reman lima hari bermula hari ini.

Katanya ketiga-tiga lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 4 (B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas selain boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.

Abdul Aziz berkata ketiga-tiga lelaki itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 11(3) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan negeri Perak 1997, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain