suria

BN Diingat Tidak Terlalu Ghairah Dengan Kelemahan Pembangkang

KOTA BAHARU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini diminta agar tidak terlalu ghairah dan leka dengan krisis yang melanda parti pembangkang sekarang sekalipun keadaan itu menunjukkan pakatan tersebut semakin lemah.

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebaliknya pemimpin BN harus menggunakan kesempatan ini untuk menguatkan parti masing-masing bagi meraih kepercayaan rakyat.

"Kita tidak boleh bergantung kepada kelemahan pembangkang semata-mata tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya kita perlu menguatkan diri kita supaya rakyat mengalih semula kepercayaan mereka kepada BN dan melihat pakatan pembangkang sebagai pakatan yang rapuh," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut dalaman pakatan pembangkang yang dilihat semakin serius. Semalam Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diteraju Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sebelum ini, Zahrain dan beberapa anggota Parlimen daripada PKR seperti Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baharu), dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) telah secara terbuka mengkritik layanan DAP terhadap PKR khususnya di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata sekarang adalah masa untuk pemimpin B Nmemanifestasikan kepada rakyat slogan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'.

Dengan cara itu katanya, rakyat akan dapat menilai kelemahan yang ada pada pakatan pembangkang itu.

"Hakikatnya mereka tidak mempunyai keserasian antara parti, masing-masing ingin memenuhi agenda diri sendiri dan bukannya agenda untuk rakyat.

"Akhirnya mereka akan berpecah dan perkara seumpama ini tidak berlaku di dalam BN kerana kami mempunyai hasrat serta impian yang sama, iaitu untuk rakyat dan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain