suria

Tak Wajar P.Pinang Batalkan Perarakan Maulidur Rasul: Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang tidak wajar membatalkan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu kerana ia adalah perarakan aman dan tidak mendatangkan keburukan, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), berkata tindakan membatalkan perarakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri mengandaikan perarakan itu akan menjadi sesuatu yang tidak baik, membawa keburukan serta menyebabkan pergaduhan.

"Pandangan sebegitu tidak sepatutnya ada dalam fikiran kerajaan negeri sebab Maulidur Rasul adalah sambutan yang tiap-tiap tahun diadakan, perayaan yang aman dan tidak menjadi perayaan yang mencetuskan apa-apa yang tidak baik," katanya kepada pemberita di IKIM di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Sambil meminta kerajaan Pulau Pinang memikirkan semula keputusan itu, Abdullah berkata ia akan mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

"Kalau tak benarkan, mungkin akan timbul pula perarakan yang lain pada hari itu.

"Ini akan membawa kepada perkara tidak menyenangkan kerana perarakan itu boleh jadi perarakan menentang dan marah. Ini perlu dielak," katanya.

Di BATU PAHAT, Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tindakan kerajaan Pulau Pinang itu "amat tidak sensitif" terhadap perasaan umat Islam di negeri itu.

Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata tindakan itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan curiga di kalangan umat Islam Pulau Pinang.

"Maulidur Rasul adalah satu sambutan yang amat penting bagi umat Islam, untuk mengingati Rasulullah S.A.W. Jikalau mereka mahu membatalkannya kerana takut akan terjadinya demonstrasi, maka ia adalah satu pandangan yang amat sempit," katanya kepada Bernama di Rengit hari ini.

Katanya, tindakan terbaru kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng itu telah jauh menyimpang daripada tekad yang disuarakannya sebelum ini untuk mencontohi pendekatan Khalifah Islam Umar Abdul Aziz. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain