suria

Kerajaan Responsif Penggunaan Kalimah Allah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bertindak responsif dalam mencari jalan penyelesaian berhubung penggunaan kalimah Allah.

"Permintaan yang dibuat itu menunjukkan keprihatinan Majlis Raja-Raja tentang isu yang berbangkit.

"Oleh itu, kita harus menjunjung kasih titah Majlis Raja-Raja terhadap keprihatinan mereka supaya ketinggian Islam tidak tercemar," katanya ketika mengulas berhubung pendirian Raja Melayu dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Semalam Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat ke-220 memutuskan penterjemahan perkataan 'God' kepada Allah telah banyak menimbulkan kekeliruan dan perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja bimbang jika perkara tersebut tidak ditangani dengan segera ia akan menggugat kesucian Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut kenyataan tersebut, Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara ini dan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

"Mahkamah telah membuat keputusan dan jika ada pihak yang mempertikaikan keputusan itu mereka boleh didakwa menghina mahkamah," katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak setahun lalu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).

Mengulas lanjut isu berkenaan, Muhyiddin berkata, pembangkang perlu menerima dengan tangan terbuka keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu.

"Pastinya keputusan itu tidak menyenangkan semua orang soalnya pokoknya keadilan sudah pun dilakukan dan semua pihak harus terima termasuk pihak pembangkang.

"Tidak bermakna mereka pihak pembangkang sampai keputusan mahkamah pun mereka perlu bangkang sahaja. Itu bukan sikap pembangkang yang baik," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain