suria

Selangor Akan Terus Beri Hak Milik Tanah Kepada Yang Layak

SEKINCHAN: Kerajaan negeri Selangor akan meneruskan rancangan pemberian geran hak milik tanah secara berperingkat kepada rakyat negeri itu yang menetap di sesuatu kawasan penempatan melebihi 20 tahun.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian geran hak milik tanah bukan tertakluk kepada penduduk di kampung baru sahaja tetapi juga kampung Melayu dan kawasan penempatan kaum India di negeri itu.

Proses pendaftaran pemilik tanah akan dilaksanakan secara berkelompok melalui Pejabat Tanah dan Daerah dengan bantuan ketua kampung dan wakil rakyat, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat milikan tanah pajakan selama 99 tahun kepada 183 penduduk Bagan Sekinchan di sini hari ini.

Katanya surat milikan tanah pajakan itu diberi kepada pemilik rumah yang tinggal di antara 30 hingga 50 tahun di atas tanah hak milik sementara (TOL) seluas 2.4 hektar di situ.

Abdul Khalid berkata pemilik tanah dikenakan premium sebanyak RM1 bagi satu kaki persegi sama seperti nilai premium yang dikenakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Saya tidak galakkan masyarakat kampung menjual tanah mereka kerana tujuan tanah itu untuk diduduki. Inilah tanah keluarga yang boleh kita simpan kerana mempunyai nilai yang baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain