suria

Juara Rakyat Tidak Salah Guna Agensi Kerajaan

PUTRAJAYA: Tuduhan pembangkang bahawa Umno menyalahgunakan agensi kerajaan dalam pelaksanaan program Juara Rakyat tidak berasas sama sekali, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tuduhan seumpama itu tidak perlu dilayan dan Umno mengambil pendekatan untuk hanya 'memekakkan telinga'.

Katanya, program Juara Rakyat pada dasarnya adalah pemudah cara kepada semua agensi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendekati rakyat, sekaligus menepati konsep pentadbiran negara ketika ini iaitu rakyat diutamakan.

"Dalam program ini, Umno bertindak sebagai fasilitator, menjemput pelbagai agensi kerajaan yang berkenaan untuk memberi khidmat dalam bentuk kaunter, bagi melayani segala aduan dan kehendak rakyat.

"Kita juga menjemput segenap lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi politik, keturunan atau kaum. Jadi tidak timbul soal salah guna," katanya kepada pemberita selepas sesi minum petang dan ramah mesra pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Puteri Umno Malaysia di sini hari ini.

Ahmad menyatakan demikian ketika ditanya mengenai tuduhan parti pembangkang bahawa program Juara Rakyat adalah medan untuk Umno menyalah gunakan agensi kerajaan dalam memenuhi kepentingan politik parti.

Katanya, program Juara Rakyat juga sama sekali tidak berkaitan dengan muslihat kerajaan untuk memancing undi sempena pilihan raya kerana ia masih terlalu jauh untuk diperkatakan.

"Pilihan raya akan diadakan dua atau tiga tahun lagi, sedangkan program Juara Rakyat ini hanya sepanjang tahun ini sahaja. Ia tidak ada kena mengena dengan cubaan memancing undi," katanya.

Beliau juga memberitahu, program tersebut yang akan diadakan dengan tema berlainan setiap bulan turut akan melibatkan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno serta Umno induk sebagai keluarga angkat.

"Ini bermakna pada setiap bahagian akan memiliki empat keluarga angkat terdiri daripada Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri. Ini merupakan elemen baru yang kita terapkan supaya pengisian program ini menjadi lebih efektif," katanya.

Keluarga angkat ini perlu turun ke setiap bahagian untuk memastikan pelaksanaan program Juara Rakyat berjalan dengan lancar, katanya.

"Mereka adalah sumber penghubung untuk semua masalah rakyat disampaikan kepada pucuk pimpinan yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain