suria

Kerajaan Bakal Guna Dasar Tenaga Hijau

KOTA KINABALU: Kerajaan kini mengkaji kemungkinan mengguna pakai dasar pengurusan tenaga hijau, terutamanya dalam penggunaan sisa biomas untuk penjanaan tenaga dalam negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), telah melaksanakan kajian mengenai perkara itu dengan tumpuan khas terhadap penggunaan maksimum sisa berkenaan serta kecekapan paling tinggi.

"Saya jangka kajian itu akan selesai dalam masa dua bulan. Ini akan membolehkan kita mengguna pakai satu dasar dan hala tuju yang jelas berkaitan tenaga hijau," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Bengkel mengenai prestasi dan kelestarian, isu buruh industri sawit di sini hari ini.

Dompok berkata, kementeriannya komited untuk menyumbang ke arah kejayaan kajian ini seiring dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap pengurusan tenaga hijau pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Copenhagen pada Disember lepas.

"Perdana Menteri sendiri berminat dengan pembangunan tenaga hijau. Potensinya baik bagi Malaysia, memandangkan biomas boleh menghasilkan pada anggaran 1,065 megawat elektrik dan 270 megawat biogas.

Dompok berkata, terdapat keperluan untuk dasar yang sewajarnya bagi memastikan antara lain, bekalan biomas yang kukuh untuk penjanaan tenaga termasuk Pengeluar Janakuasa Bebas (IPP).

Terdahulu dalam ucapannya, Dompok berkata, industri sawit menyumbang RM49.59 bilion dalam perolehan eksport tahun lepas.

"Meskipun prestasi keseluruhan industri terus menunjukkan perkembangan, produktiviti masih terjejas, dengan hasil purata buah tandan segar (FFB) pada kira-kira 20 tan sehektar setahun," katanya.

Beliau berkata, kadar perahan minyak (OER) mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 1.4 peratus kepada 20.49 peratus manakala kawasan yang ditanam dengan sawit meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada 4.69 juta hektar.

"Jumlah pengeluaran sawit susut daripada 17.73 juta kepada 17.56 juta tan. Tetapi jumlah eksport minyak sawit, bertambah sebanyak 2.9 peratus kepada 15.86 juta tan," katanya.

Dompok berkata, Sabah kini merupakan negeri dengan kawasan penanaman sawit terbesar dengan keluasan 1.36 juta hektar atau 29 peratus jumlah kawasan ditanam.

Beliau berkata, industri sawit menyediakan pekerjaan kepada 325,074 pekerja pada 2000 dan jumlah ini meningkat sebanyak 88 peratus kepada 610,135 pada 2008.

Daripada jumlah ini, 82 peratus atau 500,817 pekerja bekerja di sektor perladangan dengan 75 peratus atau 376,906, adalah pekerja asing, katanya.

"Industri perlu mengubah cara pemikiran dan beralih kepada paradigma baru memandangkan buruh asing semakin sukar diperoleh dan mahal pada masa depan," katanya.

Mengenai penggunaan alat mekanikal dikenali sebagai "Cantas", Dompok berkata, MPOB menggalakkan penggunaannya untuk memetik FFB.

"Dengan menggunakan Cantas, pemetik buah boleh melakukan kerja di kawasan seluas 50 hektar berbanding dengan 21 hektar jika menggunakan parang cangkuk. Cantas juga boleh digunakan untuk memetik FFB pada ketinggian lima meter, yang merupakan ketinggian pokok sawit berusia 13 tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain