suria

Umno Tidak Pernah Tolak Bincang Dengan pembangkang

KUALA LUMPUR: Umno tidak pernah menolak untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik pembangkang dalam membincangkan isu-isu agama Islam, menurut dua orang pemimpin tertinggi Umno.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya pemimpin PAS memperlihatkan kewarasan politik ini, Umno mengalukan-ngalukan dan bukan dengan emosi politik yang boleh menyelesaikan segala masalah.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang mahukan Umno dan PAS duduk semeja untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam daripada berterusan menghabiskan masa bertelagah mengenai politik.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berharap sikap keterbukaan Nik Aziz ini berterusan dan diikuti oleh pengikutnya dengan tidak lagi mengeluarkan kenyataan melalut yang boleh menjurus kepada perpecahan ummah.

Di Kuala Terengganu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan PAS untuk bekerjasama dengan Umno diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, cadangan itu bukanlah yang pertama kali diusulkan parti pembangkang tersebut tetapi ia sering gagal mencapai keputusan yang diharapkan.

"Terpulang kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk dipertimbangkan cadangan itu. Tetapi jika ada sinar harapan perpaduan dan semangat berbaik antara dua parti Melayu terbesar ini, maka yang untungnya adalah semua rakyat Malaysia," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini.

Menurutnya, sebelum ini, PAS pernah mengemukakan cadangan kerajaan perpaduan yang disambut baik oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tetapi apabila cadangan tersebut dibawa berbincang dengan DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) sudah tentulah mereka tidak bersetuju. Jadi lebih baik jika PAS berbincang dengan Umno dan BN.

"Sebelum ini juga pintu dialog terbuka sekali lagi apabila Datuk Nik Aziz setuju untuk kerajaan Kelantan berbaik dengan kerajaan pusat tetapi kemudiannya tidak setuju. Kita menjadi keliru dan adakah PAS hanya bermain politik," katanya.

Ahmad berkata, cadangan itu akan timbul setiap kali pakatan pembangkang kelihatan berpecah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain