suria

PM Anjur Jamuan Teh Khas Buat Rakan Online

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menganjurkan jamuan teh khas buat rakan-rakan online di kediamannya di Putrajaya pada hari Sabtu, 13 Mac depan.

Beliau berkata jamuan yang dijadualkan bermula pukul 4 petang itu bertujuan membolehkannya berinteraksi dengan cara yang lebih langsung dengan peminat dan rakan online beliau.

"Sebagaimana yang telah disentuh dalam blog-blog saya yang terdahulu dan dalam beberapa wawancara, saya begitu gembira dengan kadar interaksi online yang telah dicapai bersama dengan orang ramai melalui blog peribadi saya di 1Malaysia.com.my serta Facebook dan Twitter.

"Saya begitu kagum dengan tahap penglibatan online yang kita alami setakat ini dan ingin meneruskan dialog 1Malaysia kita. Sesungguhnya saya tergerak hati untuk berinteraksi dengan cara yang lebih langsung dengan peminat dan rakan online saya," katanya yang dipetik dari laman blog beliau www.1Malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata walaupun penyertaan untuk acara itu adalah terhad tetapi beliau menginginkan majlis tersebut menjadi acara pembuka bagi kelangsungan sesi-sesi seterusnya. Katanya segala komen dan maklum balas yang banyak serta memberangsangkan yang diterimanya menerusi ketiga-tiga medium tersebut akan diperbincangkan pada sesi interaksi itu.

Memandangkan tempat adalah terhad, beliau meminta rakan-rakan online yang ingin menyertai jamuan tersebut mengisi borang kehadiran yang disediakan di laman blognya www.1Malaysia.com.my di mana pendaftaran akan dibuka sehingga 15 Feb, pukul 11.59 malam.

Najib juga meminta agar rakan-rakan online beliau untuk terus melayari laman blognya kerana banyak lagi acara dan peluang yang akan diadakan selepas ini.

"Bermula pada 2010, saya akan membuka lebih banyak peluang untuk kita berinteraksi secara online dan bersemuka, yang akan saya umumkan di laman web saya serta Facebook," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain