suria

Kerajaan Sentiasa Terbuka Terhadap Kritikan - Muhkriz

JERLUN: Kerajaan sentiasa bersifat terbuka terhadap sebarang kritikan, tidak kira ia datang daripada pihak pembangkang mahupun penyokong kerajaan sendiri, demi kepentingan rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata bagaimanapun setiap kritikan akan dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kerajaan pusat sentiasa mengamalkan sikap terbuka terhadap apa juga perkara termasuk isu royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan.

"Sikap keterbukaan itu juga boleh diaplikasi bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai Umno," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian jambatan baru dan majlis penyampaian sumbangan orang miskin di Kampung Sungai Korok, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Mukhriz berkata beliau percaya tindakan Anggota Parlimen Gua Musang itu dilakukan atas dasar perjuangan dan tidak berniat membelakangkan parti.

"Tapi apapun saya tidak tahu keputusan Ahli Majlis Tertinggi dalam hal ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata jambatan-jambatan kayu di kawasan luar bandar yang sudah usang akan diganti dengan jambatan baru demi keselamatan penggunanya.

Katanya di Jerlun sahaja lebih 50 permohonan untuk membina jambatan baru telah diterima melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan untuk itu pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat walaupun negeri ini di bawah pentadbiran pakatan pembangkang, apa yang penting rakyat dapat menikmati segala kemudahan tanpa mengira agama mahupun fahaman politik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain