suria

Jutawan Jadi Miskin Kini Popular di Australia

SIAPAPUN tidak boleh menafikan media dan pengaruhnya memang amat besar kepada masyarakat. Ironinya, ikon dunia hiburan Madonna ada mengatakan televisyen adalah media yang tidak selamat lagi, serta bukan sumber penyaluran ilmu.

Madonna kini mengharamkan anak-anaknya daripada menonton televisyen. Saya sedar ramai lagi di kalangan kita yang berfikiran seperti Madonna. Tapi sejauh manakah kita boleh percaya pada media lagi?

Stesen televisyen sama ada berbayar mahupun percuma berlumba-lumba mengejar rating yang tinggi untuk stesen masing-masing. Resolusinya rancangan bertemakan realiti tv menjadi satu fenomena luarbiasa yang melanda merata dunia semenjak kebelakangan ini dan tidak ketinggalan negara seperti Australia.

Di sini, rancangan berteraskan realiti juga sentiasa memenuhi setiap stesen penyiaran yang ada, terutamanya yang berkonsepkan hiburan. Namun tedapat sebuah rancangan yang amat menarik perhatian saya.

Program ini memaparkan penglibatan beberapa jutawan ternama menyamar menyelinap masuk ke dalam masyarakat serta merasai peritnya kehidupan sebagai orang yang amat memerlukan bantuan. Rancangan ini diberi nama secret billionaire.

Setiap jutawan yang menyertai rancangan ini dikehendaki untuk berpakaian sederhana mungkin dan bercampur gaul dengan masyarakat setempat.

Para jutawan ini hanya dibenarkan membawa wang saku sebanyak AUD20 sehari tanpa membawa sebarang bentuk kad kredit. Duit ini juga akan digunakan sebagai wang belanja seharian mereka, dari makan-minum, penginapan dan perbelanjaan perjalanan.

Secara tidak langsung mereka akan dapat merasa kepayahan berbelanja serta makan dalam jumlah wang yang sedikit. Tugas yang diberikan untuk mereka adalah untuk mencari tiga organisasi atau pun individu yang berada di kawasan tersebut sahaja.

Dalam tempoh 10 hari, mereka mesti bekerja di organisasi tersebut dan berlakon seolah-olah mereka sendang menjayakan rancangan realiti tv bertemakan sukarelawan.

Rancangan ini membuatkan orang-ramai menangis kesedihan kerana mengenangkan kemiskinan dan kepayahan hidup. Pendek kata, rancangan ini lebih kepada berbentuk pengorbanan dan kasih sayang yang sebenar.

Saya yakin rancangan ini akan mendapat rating yang tinggi dan disukai ramai kerana ia adalah sebuah rancangan realiti yang sebenar-benarnya daripada program realiti lain yang lebih kepada hiburan kosong semata-mata dan hanya sebuah lakonan dalam pentas teater.

Apatah lagi rancangan ini lebih menjurus kepada perasaan memupuk kasih saying, bantu membantu dan keinsafan, daripada menangisi tentang cinta tidak kesampaian atau menangisi tentang penyingkiran seseorang yang baru belajar nak menyanyi dan mencari sebuah haluan hidup yang tak pasti.

Rancangan ini ada miripnya dengan rancangan bersamamu terbitan tempatan tapi yang menariknya bentuk bantuan yang diberikan. Dalam rancangan ini, tiada peruntukan beras ataupun makanan yang diberikan, tetapi sumber kewangan dari saku jutawan itu sendiri dalam membantu menjana modal agar pertubuhan terpilih terus boleh bangkit dari kedudukan sekarang.

Selepas lima bulan, perkembangan bantuan akan dipantau untuk memastikan agar sumber yang diberikan tidak disalah gunakan.

Bagi saya, kalau kita ingin membantu seseorang berilah pancing padanya bukannya ikan. Jika ikan yang diberikan mudah sahaja dihabiskan, tapi jika pancing diberikan akan berpanjanganlah rezeki itu.

Realiti hidup memang Tuhan yang tentukan. Jika kita sanggup dijadikan realiti untuk orang lain tonton, itu menyedihkan...

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI adalah Honorary Visiting Academician di University of Melbourne Australia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain