suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Kes Kepala Babi

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian empat kepala babi hutan diletakkan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pasukan khas itu telah dikerahkan mencari setiap maklumat bagi menyelesaikan kes berkenaan.

"Kes ini melibatkan keselamatan dan keamanan negara, dan perlu ditangani segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kewangan Berhemat di sini hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, siasatan dijalankan untuk mengesan saksi dan petunjuk kepada kes itu selain mencari motif perbuatan itu.

"Kalau sesiapa ada maklumat, tolong salurkan kepada kita," katanya.

Semalam, dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke pekarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke pekarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Dalam ucapannya pada majlis itu pula, Muhammad Sabtu berkata, penyelia kewangan di setiap balai dan ibu pejabat polis telah diarah untuk mengenal pasti pegawai-pegawai dan anggota di bawah selian masing-masing yang dibebani hutang.

"Langkah perlu diambil agar masalah hutang tidak mendatangkan kesan jangka panjang kepada mereka yang terlibat," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, pemantauan secara berterusan dan berkala juga hendaklah dibuat terhadap gaya hidup pegawai dan anggota supaya mereka yang terlibat dengan masalah ini hidup secara sederhana dan mengikut kemampuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain