suria

Pekerja Ladang Lemas Ketika Cuba Selamatkan Dua Kanak-Kanak

BELURAN: Seorang pekerja ladang kelapa sawit mati lemas selepas dia cuba menyelamatkan dua orang kanak-kanak dalam kejadian di sebatang sungai di Ladang Tongod Jaya di Paitan, kira-kira 150 kilometer dari sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Mashir Mohd Akip, 21, dilaporkan hilang di sungai di kawasan ladang kelapa sawit tempat dia bekerja itu kira-kira pukul 9 pagi.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir Beluran Benedict Asmat berkata ketika kejadian mangsa sedang mandi di sungai itu yang dilimpahi air banjir bersama dua kanak-kanak lain.

Katanya dua kanak-kanak itu tiba-tiba lemas ketika mandi di sungai itu dan mangsa cuba menyelamatkan mereka tetapi dia hilang dihanyutkan arus deras.

Dua kanak-kanak itu yang berjaya berenang ke tepi kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pekerja lain di ladang tersebut yang kemudiannya melakukan gerakan mencari mangsa, katanya ketika dihubungi hari ini.

Benedict berkata mayat mangsa kemudian ditemui dua jam kemudian dan dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain