suria

Isu Allah: Kerajaan Tetap Tunggu Rayuan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap menunggu rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhabar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil langkah untuk menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perkara berkenaan.

"Kita akan tunggu keputusan rayuan mengenai perkara ini, saya tidak mahu buat apa-apa komen atau andaian sebelum keputusan dibuat,"katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran MyID dan Persidangan Ketua-Ketua Agensi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik rayuan berhubung perkara berkenaan kerana berdasarkan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu, kebenaran penggunaan kalimah Allah kepada penganut Kristian Katolik hanya bagi penerbitan dalaman pihak gereja.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, kerajaan akan memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan yang aman dalam setiap tindakan yang diambil.

"Kita bukan sahaja nak melihat kepada aspek undang-undang, setiap tindakan kita adalah dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Selain itu beliau berkata kerajaan kini dalam usaha untuk membentuk persefahaman di antara semua agama di negara ini.

"Kita juga akan mengadakan dialog antara agama untuk memastikan persefahaman berhubung pelbagai isu yang berkaitan dapat dibentuk," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain