suria

Unit Pertama ETS Jalani Ujian Statik

SUNGAI SIPUT: Unit pertama set tren elektrik (ETS) yang tiba dari Korea Selatan pada Disember lepas kini menjalani ujian statik yang merangkumi sistem enjin serta kelengkapan lain, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata, setakat ini ujian statik itu adalah memuaskan sebelum diteruskan dengan ujian dinamik bagi menguji pergerakan ETS selain mengkaji penjimatan masa perjalanan yang konsisten.

"Ujian dinamik dijangka diadakan sebelum Tahun Baru Cina bulan depan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek saguhati RM8,200 kepada setiap penerima setinggan yang terlibat dengan projek pembinaan landasan berkembar elektrik di sini hari ini.

Terdapat 43 rumah setinggan di sini yang terlibat dengan kawasan pembinaan projek landasan berkembar elektrik yang menghubungkan Ipoh dan Padang Besar sejauh 329 kilometer dengan kos RM12.5 bilion. Ia merupakan kesinambungan kepada projek landasan berkembar elektrik yang menghubungkan Rawang-Ipoh yang siap pada 31 Disember 2007.

Ong berkata, perkhidmatan tren elektrik untuk perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban dijangka bermula Mac ini mengikut jadual.

Katanya, baki empat lagi unit ETS akan tiba Mac ini dan ia akan melengkapkan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi laluan itu.

Unit ETS serba moden itu merupakan tren terpantas yang pernah dimiliki oleh KTM Berhad dengan kelajuan maksimum 140 kmj sekaligus akan memendekkan tempoh perjalanan antara Ipoh dan Kuala Lumpur kepada satu jam 55 minit berbanding dua jam 50 minit sekarang.

Setiap unit tren itu, yang dilengkapi kemudahan litar tertutup di setiap gerabak bagi mengawasi keselamatan penumpang, terdiri daripada enam gerabak kereta api yang boleh membawa 350 penumpang pada satu-satu perjalanan.

Ong juga berkata, kementerian akan membentangkan penyelesaian mengenai 200 hingga 300 keluarga setinggan yang mendiami kawasan tanah milik KTM Berhad di Simpang Halt dan Kuala Sepetang di Taiping kepada kabinet tidak lama lagi.

"Saya pernah berjanji untuk selesaikan masalah itu. Ia tetap disusun dan sekarang ia berada di peringkat terakhir di mana kita akan cuba licinkan dan percepatkan proses supaya tapak itu dapat diserahkan kepada kerajaan negeri Perak," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pelaksanaan projek landasan berkembar elektrik antara Ipoh dan Padang Besar akan memberi kesan limpahan ekonomi dalam bentuk peningkatan pertumbuhan bagi negeri terlibat.

Katanya, untuk tujuan pelaksanaan projek terbesar yang pernah dilaksanakan di negara ini, kerajaan terpaksa membuat pengambilan balik tanah di mana sebahagian daripada jajaran kereta api tersebut perlu dibesarkan dan diluruskan.

"Secara keseluruhan terdapat 1,140 lot tanah berhak milik terlibat dalam proses pengambilan balik tanah di Perak. Majoriti pengambilan balik tanah ini bertujuan meluruskan landasan dan pembinaan jejambat menggantikan lintasan rata sedia ada.

"Ini semua dilakukan oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat. Sehingga kini 100 peratus telah melalui proses perbicaraan tanah di mana 99.8 peratus daripada telah dibayar pampasan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain