suria

Raja Nazrin Minta Umat Islam Padamkan Kontroversi Sebelum Merebak

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru umat Islam supaya berusaha memadamkan segera perkara-perkara kontroversi di peringkat awal supaya tidak merebak hingga boleh mencetuskan konfrontasi.

"Perkara-perkara berunsur kontroversi tidak harus dipandang kecil malah hendaklah dipadamkan segera di peringkat awal dari dibiarkan merebak," titah baginda ketika merasmikan persidangan ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak(MAIAMP) di sini hari ini.

Baginda bertitah bahawa sejarah membuktikan bahawa peperangan dan pertentangan bermula dari perkara-perkara kecil di mana perkara-perkara yang bersifat kontroversi sangat mudah menjemput reaksi yang akan menambah jurang salah faham malah berpotensi mencetuskan suasana konfrontasi.

"Sedarilah bahawa api yang besar lagi memusnahkan bermula dari bara-bara kecil yang gagal dipadamkan. Kembalikanlah minda untuk mencapai kejayaan sejati yang tidak menjejaskan keharmonian insan dan perpaduan warga dari sifat tidak mahu berganjak semata-mata untuk mempertahankan ego masing-masing yang akhirnya mengakibatkan kesemua pihak menanggung rugi," titah Raja Nazrin.

Menurut baginda, Islam adalah agama perpaduan dan perpaduan adalah faktor yang sangat diutamakan.

Perpaduan merupakan elemen untuk menjamin hubungan antara insan dapat berlangsung secara harmoni dan ia akan dapat dicapai melalui sifat persefahaman dan saling menghormati, titah baginda.

Raja Nazrin bertitah bahawa perkara-perkara yang boleh meningkatkan persefahaman wajar disuburkan dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan persengketaan hendaklah dielakkan.

Baginda juga mengarahkan MAIAMP membuat analisis lengkap tahap pencapaian tahun lalu dengan melakukan bedah siasat secara jujur untuk menerima hakikat kelemahan yang berlaku sepanjang 2009.

"Kesalahan dan kesilapan tidak harus cuba dilindungi kerana tindakan cuba menutup kesalahan dan kesilapan akan memberikan petanda salah yang akan menggalakkan berlakunya kesalahan dan kesilapan lebih besar," titah baginda. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain