suria

Pejabat Peguam Kes Herald Dipecah Masuk

PETALING JAYA: Pejabat peguam yang mewakili akhbar Herald-The Catholic Weekly dalam isu menuntut penggunaan kalimah Allah dipecah masuk dan digeledah oleh individu tidak dikenali hari ini.

Tiada dokumen berhubung kes tersebut dilaporkan hilang kecuali sebuah komputer riba dan beberapa fail lain.

Seorang pekerja firma guaman berkenaan, Prem berkata, dia mendapati pintu pejabat itu diumpil ketika dia melaporkan diri untuk bekerja di pejabatnya yang terletak di Jalan Yong Shook Lin kira-kira jam 7.55 pagi tadi.

"Pintu jeriji terbuka luas dan saya fikir rakan sekerja sampai di pejabat lebih awal.

"Tetapi saya mendapati pintu kayu telah diumpil dan saya sedar ada sesuatu yang tidak kena lalu segera menghubungi bos saya, S. Selverajah yang juga peguam," katanya.

Peguam lain firma tersebut yang turut terlibat dalam kes itu ialah Derek Fernandez. Para pekerja dua peguam terbabit menunggu di luar pejabat.

Selverajah berkata, tiada sebarang fail berhubung kes Herald berada di dalam pejabat itu ketika kejadian.

"Saya percaya ia berkait rapat dengan kes Herald walaupun ia kelihatan seperti kecurian biasa.

"Apa yang hilang adalah sejumlah wang, komputer riba yang tidak mengandungi maklumat penting dan beberapa fail," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai motif kecurian itu dan membenarkan polis menyiasat kejadian itu.

"Tiada tanda-tanda umpilan dari luar bangunan itu dan kami akan menyoal siasat mereka yang bekerja di pejabat itu dan pejabat-pejabat sekitarnya sama ada mereka tahu atau mendengar sesuatu," katanya.

Sebelum memecah masuk katanya, pencuri-pencuri terbabit menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV), memotong rantai serta kunci mangga pejabat yang terletak di tingkat dua pada bangunan tiga tingkat itu.

"Jangan membuat spekulasi dan mengatakan insiden tersebut berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang berlangsung sekarang sehingga kami pasti untuk menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu," katanya.

Pada 31 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah pada terbitannya.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan mahkamah terbabit.

Beberapa gereja termasuk Gereja Assumption dan The Life Chapel di Petaling Jaya menjadi sasaran serangan baru-baru ini.

Selain itu, pada pagi tadi, Gereja St Elizabeth Catholic di Kota Kecil dekat Kota Tinggi disimbah dengan cat merah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain