suria

Mahkamah Tolak Permohonan Pembebasan Tentera

KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera yang ditahan lebih sebulan di kem tentera Sungai Besi di sini gagal mendapatkan perintah pembebasannya setelah Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan habeas corpus yang dikemukakannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal oleh pihak angkatan tentera terhadap permohonan habeas corpus yang difailkan Kpl Ramlan Dol.

Dalam keputusannya, beliau berkata dalam kes ini, habeas corpus bukanlah remedi yang betul untuk dipohon memandangkan pemohon kini berada dalam tahanan longgar dan masih bebas bergerak di sekitar kawasan kem.

Ramlan, 39, menfailkan permohonan itu pada 8 Dis lalu dan menamakan Pegawai Pemerintah Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat Kem Sungai Besi Left. Kol. Md Sukri Nayan serta Panglima Tentera Darat Sungai Besi Left. Jen. Raja Mohd Afandi Raja Mohd Nor sebagai responden-responden.

Tiga lagi yang turut dinamakan sebagai responden ialah Pengarah Pengurusan latihan Tentera Darat Jeneral Datuk Md Azman Rosli, Panglima Markas Latihan Tentera Darat Mej. Jen. Datuk Mokhtar Perman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Dalam permohonan itu, Ramlan mendakwa beliau telah ditahan secara salah di bawah Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera 1972 oleh pihak angkatan tentera pada 1 Disember lalu.

Dalam proseding hari ini, Peguam Persekutuan Mohd Tarmizi Ahmad bagi pihak responden menghujahkan pemohon kini berada dalam tahanan longgar dan dibenarkan bergerak di sekitar kawasan kem.

Beliau juga berkata permohonan habeas corpus perlu dibuat mengikut keadaan terkini penahanan dan memandangkan pemohon sekarang tidak lagi ditahan secara rapi, maka habeas corpus bukanlah remedi yang sesuai untuk dipohon oleh pemohon.

Peguam N.Surendran bagaimanapun menghujahkan pertukaran keadaan penahanan pemohon tidak menjejaskan permohonan habeas corpus itu kerana anak guamnya masih berada dalam tahanan angkatan tentera.

Perkataan 'tahanan' di bawah Akta Angkatan Tentera adalah juga meliputi tahanan longgar, katanya.

Surendran, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pihaknya akan mempertimbangkan sama ada akan merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini.

"Kes ini melibatkan isu yang serius di mana anggota angkatan tentera ditahan dan tidak dibenarkan diikat jamin, jelas Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain