suria

JKR Sarawak Distruktur Semula

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan distruktur semula agar selaras dengan peranan barunya yang tidak lagi terlibat dengan kerja pembinaan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin.

Beliau berkata, penstrukturan itu dijangka mengambil masa setahun sekiranya peruntukan kewangan mencukupi.

"Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Zuraimi Sabki telah diberi tempoh enam bulan bermula Disember lepas untuk mengkaji perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dua hari pegawai-pegawai kanan JKR di sini hari ini.

Manyin berkata, penstrukturan itu akan meliputi pembentukan jabatan perundangan yang berperanan mengkaji implikasi perundangan sesuatu projek pembangunan, memandangkan pembinaan kini dilaksanakan oleh pihak ketiga.

Pengarah JKR Negeri, Datuk Hubert Thian Chong Hui yang turut hadir berkata, penstrukturan semula itu akan menghasilkan lebih banyak jawatan profesional seperti jurutera. - BERNAMA

Artikel Lain