suria

Anak Rakan Baik Curi Barang Kemas RM25,000

KUALA LUMPUR: Gara-gara membenarkan anak rakan baik menumpang tidur, seorang lelaki kerugian hampir RM25,000 ekoran barang kemas milik anak perempuannya lesap dalam satu kejadian di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pekan Batu, Sentul di sini.

Kejadian berlaku pada Isnin lepas, disedari mangsa yang berumur 48 tahun setelah mendapati barang kemas milik anaknya yang disimpan dalam almari baju rumahnya hilang kira-kira jam 12 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, barang kemas yang hilang itu terdiri daripada dua utas rantai leher, empat bentuk cincin dan dua pasang subang.

"Mangsa menyedari barang itu hilang apabila anak kenalannya, seorang lelaki yang berumur 20 tahun, menghilangkan diri pada malam kejadian setelah menumpang tidur semalaman di rumahnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan, polis berjaya memberkas suspek di kawasan sekitar PPR berkenaan pada pukul 2 pagi semalam.

"Suspek telah memajakkan kesemua barang kemas itu di sebuah kedai pajak gadai di Chow Kit dan siasatan mendapati hasil duit dari pajak gadai itu digunakan untuk kegunaan sendiri memandangkan suspek tidak bekerja," katanya.

Suspek direman bermula hari tangkapan sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Zainuddin berkata, seorang pelajar kolej swasta di ibu negara kerugian hampir RM5,000 apabila disamun dua lelaki bermotosikal yang bersenjatakan parang di Sri Segambut, Selasa lepas.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang berumur 19 tahun diacukan parang sebelum diugut untuk menyerahkan barang berharga milik mangsa.

"Dua suspek terbabit tidak dapat dikenal pasti identitinya kerana memakai helmet 'fullface' dan mangsa juga gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek.

"Antara barang mangsa yang disamun termasuklah satu unit komputer riba, telefon bimbit Nokia N97, dan wang tunai berjumlah RM450," kata Zainuddin.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang awam sentiasa berwaspada ketika berjalan kaki berseorangan di tempat-tempat sunyi bagi mengelakkan berlakunya kejadian ragut dan samun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain