suria

Cabaran Terhadap Soal Siasat Saksi Selepas Waktu Pejabat Ditetapkan 12 Januari

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 12 Januari cabaran anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah terhadap soal siasat saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas waktu pejabat.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Jumirah Marjuki menetapkan tarikh itu hari ini selepas perkara itu dikemukakan di hadapannya untuk pengurusan kes. Pada 22 Disember, Tan, 39, mengemukakan permohonan kebenaran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang SPRM boleh menyoalsiasat saksi selepas waktu pejabat.

Beliau mahukan mahkamah tertinggi itu memberikan beliau lampu hijau untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk rayuan selepas Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa SPRM tidak boleh menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat.

Tan menyenaraikan lima persoalan undang-undang untuk ditentukan oleh mahkamah, antaranya, sama ada ungkapan 'day-to-day' (hari-ke-hari) di bawah sekseyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 meliputi waktu pejabat atau tempoh berterusan selama 24 jam.

Tan memenangi samannya terhadap ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, penolong penguasa SPRM Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM di Mahkamah Tinggi pada 19 Januari.

Dalam samannya, beliau mempersoalkan penahanannya selama 16 jam hingga malam hari oleh SPRM yang beliau dakwa tidak sah dan mengakibatkan kerugian dan kerosakan.

Sementara itu, dalam satu lagi kes, Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Januari bagi mendengar rayuan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penolakan permohonannya mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang beliau sifatkan genting bagi pembelaannya dalam perbicaraan sodomi.

Peguam-peguamnya S.N.Nair dan Wan Anuar Wan Shahadat memberitahu media bahawa tarikh itu diberikan oleh pejabat pendaftar menerusi faks ke firma S.N.Nair & Partners.

Pada 6 November, Mahkamah Rayuan menolak rayuan balas Anwar terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan sampel spesimen dari pembuat aduan, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah, bagaimanapun membenarkan rayuan pendakwa terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang sama baginya (pendakwa) membekalkan dokumen utama kepada Anwar.

Antara dokumen utama ialah kenyataan saksi Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid yang dirakam, kenyataan tiga orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd Saiful, 24, bekas pembantunya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, tahun lepas.

Perbicaraan ditetapkan sebulan bermula 25 Januari. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain